Friday 3 December 2010

Insomnia

Insomnia, bunyi macam tajuk filem thriller. Satu keadaan yang menyebabkan penghidap sukar untuk melelapkan mata. Biasanya disebabkan faktor ubatan, situasi, keadaan mental atau sebab-sebab tertentu.

Disebabkan saya terlampau lama bekerja syif malam, sehingga ke hari ini simptom-simptom penyakit ini menyerang saya.

Sewaktu berkhidmat sebagai production technician di Southern Steel, Prai, saya telah ditugaskan ke syif malam selama lebih dari enam bulan. Bayangkan saya bekerja 8 jam sehari kadang- kadang 16 jam, seminggu 6 hari kadang-kadang 7 hari penuh. Tidur yang sempurna adalah satu isu bagi saya.

Malam saya gagal untuk lelap dengan sempurna, begitu juga siang hari. Tempat saya bertugas, merupakan kilang pengeluaran besi yang baru. Jadi sebagai antara perintis di kilang ini, tugas saya memang berat. Mengawasi kilang yang baru dalam proses menyesuaikan peralatan dan mesin  membuatkan mata saya tidak berupaya menjalankan tugasnya dengan jaya.

Di kilang, malam hari, walaupun dibenarkan untuk tidur (kilang belum sepenuhnya beroperasi), saya gunakan masa yang ada untuk melenjan mesin-mesin yang ada (termasuklah overhead crane 200 tonnes, excavator, forklift dsb.). Kata orang Ganu "Abih meseng tu kena wat ggalle."

Balik dari bekerja, jika terlalu susah nak tidur, saya pasti akan ke bandar Bukit Mertajam untuk menonton wayang, main video game atau lepak bersama rakan-rakan underground.

Kadang-kadang mengambil masa sehingga dua hari melakukan aktiviti, barulah saya boleh tidur pulas.

Keadaan ini berterusan sehingga saya berhenti kerja dengan SSB dan bertugas di Matsushita Shah Alam, setahun kemudian.

Aktiviti  seperti menonton wayang masih saya teruskan, tapi kali ini di sekitar KL dan Selangor.

Wednesday 1 December 2010

Asimilasi

Kata orang, masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang harimau mengaum. Satu perkataan, asimilasi. 
Di awal-awal perantauan, agak kekok berkomunikasi dengan orang yang tidak sedialek, tapi bukanlah sampai ke tahap ayam bercakap dengan itik. Sampai pada satu tahap, saya boleh bertutur dalam beberapa dialek dengan fasih sehinggakan orang menganggap saya adalah penduduk tempatan. 
Satu dialek utama di perantauan, dialek Kelantan. Bagi seorang kelahiran Ganu seperti saya, kecek Kelate bukanlah satu masalah besar. Dialek Besut pun berasal dari dialek Kelantan. Ramai kenalan sewaktu sekolah saya berkecek Kelate. 
Saya berasa tertipu dengan drama tv, kebanyakan drama menggambarkan dialek utara sebagai dominan di negara kita,tetapi realitinya, kecek Kelate lebih layak.Mungkin ramai penggiat seni berasal dari kawasan Utara Semenanjung. 
Di mana-mana sahaja  tempat yang pernah saya sampai, ada ore Kelate ( orang Kelantan ).  Bagi orang luar yang ingin cakap Ganu (baca: cakak Ganung), memang  akan berbunyi seperti kecek Kelate. Menyakitkan hati. Kononnya cakap Ganu, tapi sebenarnya kecek Kelate. Dialek yang susah bagi saya di Semenanjung, dialek jawa, minang, banjar dan seumpamanya yang berasal dari seberang. 
Kalau ada bukan darah Ganu yang dapat cakap Ganu dengan betul sebutannya, saya memang respek habis.Tapi saya tidak pernah bertemu. Rakyat Ganu dari daerah Besut pun jarang yang boleh cakap Ganu dengan fasih.   
Dialek Ganu mempunyai intonasi yang sama sekali berbeza dengan dialek-dialek yang lain, sebutan pula, yang paling hampir adalah dialek penduduk asal Sungai Petani,  Melayu Pattani di Kedah.Intonasi sahaja yang berbeza.Satu fakta yang tidak ramai orang tahu, pengasas kesultanan Terengganu, Sultan Zainal Abidin I datang dari Pattani (walaupun baginda anak bendahara Johor ). 
Dalam dialek Ganu, satu perkataan mempunyai maksud yang pelbagai mengikut intonasi. Biasanya, contoh paling klasik adalah memberatkan huruf permulaan sesuatu perkataan seperti ada dua huruf berkenaan. Ikan makan (k)kucing. Ayat ini bukan bermaksud ikan makan kucing, mengikut sebutan cakap Ganu, ikan dimakan kucing. Cara sebutan dan intonasi cakap Ganu membawa maksud yang berbeza dari kebiasaan. Selalu saya dengar ore Kelate akan cakap Ganu bila mereka cuba bertutur bahasa Kebangsaan tapi tak berjaya.
Di tempat orang, asimilasi sangat penting, adat dan budaya orang kita hormati, adat dan budaya kita, kita sanjungi.

Universiti kehidupan

Setiap rakan dan kenalan persekolahan saya, jika bersua pasti bertanyakan tentang kesinambungan alam persekolahan saya. Saya dengan rasa agak malu akan berterus terang, saya tidak pernah melanjutkan pengajian saya ke peringkat yang lebih tinggi. 
Bukan saya tidak mahu atau tidak pernah mendapat tawaran dari mana-mana pusat pengajian tinggi selepas keputusan SPM, tapi siapalah saya untuk membebankan ibu-bapa saya dengan benda- benda remeh begitu. Adik-adik saya masih ramai lagi sedang bersekolah dan keluarga saya tergolong dalam keluarga berpendapatan rendah pada waktu itu. 
Pada waktu itu PTPTN pun masih belum wujud, nak mengharapkan  pinjaman atau biasiswa,  biasiswa sekolah pun saya tidak layak. Walaupun keputusan saya agak baik, pangkat satu dengan 11 agregat, kenakalan saya sewaktu remaja tidak menyebabkan bapa saya memaksa saya atau dirinya untuk mencuba nasib dalam hal U ini. 
Saya bukanlah pilihan utama untuk melanjutkan pengajian dalam keluarga saya. Ini tidak bermakna bapa saya seorang yang pilih kasih, kerana saya faham kasih sayang seorang bapa terhadap anak-anaknya adalah sama adil, cuma kedudukan di dalam hati sahaja yang berbeza-beza. Biarlah saya berkorban, lagipun kehidupan kita pun ibarat sebuah universiti, perjalanan hidup ini bagai satu kuliah. 
Setelah merantau dan ada pekerjaan, saya pernah juga cuba untuk menyambung pengajian saya, tapi kekangan kewangan menyebabkan ia sekadar tinggal impian. Yuran IPT swasta sangat tinggi, walaupun untuk pengajian separuh masa. Melihat tahap pemikiran dan intelektual graduan IPT masa kini, saya semakin jauh dari menggapai IPT, bagi saya sedikit sahaja yang betul-betul berkualiti, saya tidak mahu jadi begitu. Sekadar melonjakkan kuantiti graduan. Kalau ada peluang saya akan pilih kemahiran.