Setiap rakan dan kenalan persekolahan saya, jika bersua pasti bertanyakan tentang kesinambungan alam persekolahan saya. Saya dengan rasa agak malu akan berterus terang, saya tidak pernah melanjutkan pengajian saya ke peringkat yang lebih tinggi.
Bukan saya tidak mahu atau tidak pernah mendapat tawaran dari mana-mana pusat pengajian tinggi selepas keputusan SPM, tapi siapalah saya untuk membebankan ibu-bapa saya dengan benda- benda remeh begitu. Adik-adik saya masih ramai lagi sedang bersekolah dan keluarga saya tergolong dalam keluarga berpendapatan rendah pada waktu itu.
Pada waktu itu PTPTN pun masih belum wujud, nak mengharapkan pinjaman atau biasiswa, biasiswa sekolah pun saya tidak layak. Walaupun keputusan saya agak baik, pangkat satu dengan 11 agregat, kenakalan saya sewaktu remaja tidak menyebabkan bapa saya memaksa saya atau dirinya untuk mencuba nasib dalam hal U ini.
Saya bukanlah pilihan utama untuk melanjutkan pengajian dalam keluarga saya. Ini tidak bermakna bapa saya seorang yang pilih kasih, kerana saya faham kasih sayang seorang bapa terhadap anak-anaknya adalah sama adil, cuma kedudukan di dalam hati sahaja yang berbeza-beza. Biarlah saya berkorban, lagipun kehidupan kita pun ibarat sebuah universiti, perjalanan hidup ini bagai satu kuliah.
Setelah merantau dan ada pekerjaan, saya pernah juga cuba untuk menyambung pengajian saya, tapi kekangan kewangan menyebabkan ia sekadar tinggal impian. Yuran IPT swasta sangat tinggi, walaupun untuk pengajian separuh masa. Melihat tahap pemikiran dan intelektual graduan IPT masa kini, saya semakin jauh dari menggapai IPT, bagi saya sedikit sahaja yang betul-betul berkualiti, saya tidak mahu jadi begitu. Sekadar melonjakkan kuantiti graduan. Kalau ada peluang saya akan pilih kemahiran.
No comments:
Post a Comment